Friday, May 15, 2009

JUJUR



Ketika si ibu bertanyakan anaknya adakah dia merokok? Si anak akan menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’. Si ibu lantas bertanya, ‘jujurkah kamu?’ dan jika sang kekasih bertanyakan pasangannya adakah kamu pernah curang? Lantas sepantasnya si dia membalas ‘tidak mungkin’. Terlintas difikiran sang kekasih ‘jujurkah dia?’.

Jujur. Sering kali kita mendengar perkataan ini walau dimana jua kita berada. Sering juga kita melafazkan perkataan ini ketika kita mengharapkan kebenaran yang dilafazkan dari seseorang. Namun sejauh manakah kita fahami erti kejujuran itu sebenarnya? Adakah kita sebagai manusia, jujur dengan apa yang kita lakukan atau lafazkan? Sejujurnya, pernahkah kita menipu walaupun demi kebaikan? Benarkah penipuan demi sesuatu kebaikan itu dikecualikan?

Kadang kala kita keliru dengan perkataan ini disebabkan permainan yang kita cipta untuk kepentingan diri sendiri. kita mengolah kisah demi kisah yang kadangkala tragis demi meraih simpati seseorang dan mengharapkan kepercayaan insan yang disayangi dengan menggunakan perkataan JUJUR. Sejauh manakah kekuatan ayat ini? Adakah seseorang insan itu akan percaya jika kita hanya menggunakan 'senjata' jujur ini? Sama sekali tidak. Majoritinya mahukan bukti yang kukuh untuk menyokong cerita yang mereka olah.

Namun, sesetengahnya tidak mempunyai bukti yang kukuh tetapi kenyataannya benar. Seorang insan yang tidak berdosa telah dituduh membunuh seorang anak kecil dengan bukti yang terletak sepenuhnya terhadap insan tersebut. Walau berkali-kali dia bersumpah di dalam kandang kehakiman, dia tetap bersalah. Walaupun hakikatnya, seorang manusia yang tidak berperikemanusiaan telah menggunakan kuasa yang ada ditangannya untuk mengolah bukti dan ‘membeli’ bukti untuk melarikan diri dari kesalahan yang dilakukannya.

Seorang gadis amat mencintai kekasihnya, telah dituduh curang oleh kekasihnya sendiri walau berjuta kali dia menafikannya dengan mengatakan sejujurnya pada si kekasih. Sang kekasih itu pula dengan gahnya mengatakan yang dia tidak akan percaya pada gadis tersebut kecuali si gadis memberi bukti cinta dan sayang pada si kekasih tersebut. Lalu si gadis bertanyakan apakah bukti yang si kekasih mahukan? sedangkan si gadis telah berikan semuanya pada kekasih hati. Maka si kekasih itu berkata dia mahukan si gadis gadaikan maruahnya untuk membuktikan sayang. Benarkah dengan menuruti kehendak kekasihnya itu akan meleraikan pertelingkahan itu? TIDAK. Semakin hari, mereka melakukan dosa, ketepikan soal maruah dan keluarga hingga suatu saat, si kekasih berubah hati. Alasannya, si gadis bukan calon pilihan hatinya. Adilkah?

Lumrah manusia, sering saja melihat dan mengadili sesuatu dengan mata kasar. kita melihat tertuduh yang dituduh membunuh hanya dengan bukti yang kita sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Sedangkan kebenaran yang sebaliknya, si tertuduh telah ditipu oleh teman baiknya sendiri yang menggunakan istilah ‘jujur’ sehinggakan dia terpedaya lalu terperangkap dalam jenayah yang tidak dilakukannya. Kita juga mengatakan si gadis yang tergadai maruahnya seorang murahan kerana memberi maruahnya pada lelaki tanpa mengambil kira mengapa dia melakukan perbuatan itu. Dengan dua kisah ini, tidak terlintaskah difikiran kita bahawa istilah jujur itu boleh membunuh jiwa kita sendiri? seorang yang jujur yang berpegang teguh pada pendiriannya untuk berkatra benar telah ditipu oleh manusia bertopeng dua yang sentiasa mengambil kesempatan pada istilah jujur itu sendiri. pada akhirnya, kita manusia tenggelam antara penipuan disebalik kebenaran, begitu juga sebaliknya...

No comments: